SEOUL: Agensi kastam Korea Selatan pada Khamis berkata pihaknya bersetuju untuk bekerjasama memerangi pengedaran dadah dengan negara Asia-Pasifik di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terrhadap penyalahgunaan narkotik, lapor Yonhap.

Perjanjian dengan 17 negara itu termasuk Jepun, Australia dan Thailand, dicapai sempena minggu K-Customs selama tiga hari di sini, menurut Perkhidmatan Kastam Korea (KCS).

"Kami, wakil kastam bersama-sama memutuskan untuk meningkatkan tahap komunikasi dalam kalangan pihak berkuasa kastam, melalui penglibatan bersemuka bagi menyediakan perkhidmatan pentadbiran yang lancar dan perkongsian maklumat memandangkan kes rampasan dadah tertakluk kepada undang-undang domestik," menurut kenyataan bersama itu.

Negara yang mengambil bahagian juga berkongsi konsensus bahawa aktiviti perdagangan dadah dikaitkan dengan "aktiviti jenayah transnasional lain termasuk pengubahan wang haram dan penyeludupan senjata," dengan pelaku boleh menimbulkan ancaman politik dan keselamatan yang serius kepada rantau ini.

Pada 2022, Seoul menjalankan operasi bersama 17 negara untuk membasmi perdagangan haram di rantau ini yang menyumbang kepada rampaan dadah seberat 88.6 kilogram di Korea Selatan.

Tahun lepas, KCS juga mengesan percubaan penyeludupan dadah seberat 624 kilogram, dengan 87 peratus berasal dari rantau Asia Pasifik.

"Kerjasama antara agensi kastam penting untuk membasmi penyeludupan dadah di sempadan," kata Pesuruhjaya KCS Yoon Tae-sik. Melalui pengisytiharan bersama itu, pihak berkuasa kastam Asia-Pasifik wajar menumpukan usaha untuk menjadikan rantau ini bebas dadah.

Di luar acara itu, Yoon turut mengadakan dialog berasingan dengan wakil 22 negara dan empat organisasi lain termasuk Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah dan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika.

--BERNAMA-YONHAP